Pergolakan dalaman dalam Sapura Group semakin memuncak berikutan perkembangan terkini, menimbulkan kebimbangan mengenai masa depan konglomerat tersebut dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia. Dakwaan mengenai konflik kepentingan, salah urus, dan ketidaksepakatan mengenai penilaian aset telah melibatkan eksekutif tertinggi, bekas Pengurus Urusan, Dato’ Shahriman Shamsuddin yang baru sahaja meletakkan jawatan pada 30 Oktober 2024.
Perletakan jawatan beliau berlaku sebaik sahaja pihak syarikat hendak mengambil tindakan terhadap beliau kerana terdapat bukti kukuh tentang isu penyelewengan wang dan salah guna kuasa.
Pada Julai 2023, Sapura Resources Berhad (SAPRES) memilih untuk keluar dari divisyen penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO). Keputusan ini dimeterai melalui perjanjian dengan RoyalJet LLC, namun akhirnya perjanjian tersebut tidak diteruskan, mencetuskan persoalan di kalangan pemegang saham. Tidak lama kemudian, SAPRES membentuk kerjasama dengan Subang MRO Sdn Bhd, bertujuan mengukuhkan kehadiran perkhidmatan penerbangannya di LTSAAS Subang.
Pada masa yang sama, muncul konflik apabila pemegang saham SAPRES melahirkan kebimbangan mengenai kedudukan Dato’ Shahriman dalam lembaga pengarah sebuah syarikat pesaing, Explorer Group. Explorer Sdn Bhd adalah milik Dato’ Shahriman sendiri.
Ketegangan ini meningkat apabila SAPRES mengambil keputusan untuk meletakkan Dato’ Shahriman dalam “garden leave” pada September 2024, susulan dakwaan bahawa beliau telah menghalang penjualan awal SAPRES kepada RoyalJet. Melalui tindakan yang diambil oleh beliau itu syarikat telah kehilangan peluang mengukuhkan perniagaan melalui potensi jalinan kerjasama SAPRES dan MRO Subang, malahan saham syarikat merudum sebanyak 24% kerana kekacauan yang dilakukan oleh Dato’ Shahriman.
Lembaga pengarah SAPRES juga membangkitkan isu mengenai tindakan beliau melantik seorang kakitangan wanita yang tidak berkelayakan untuk menjadi pembantu peribadi beliau dengan gaji yang amat tinggi tetapi wanita tersebut ditempatkan untuk bekerja di syarikat pesaing yang telah mencetuskan konflik kepentingan kepada perniagaan syarikat.
Kemuncaknya, Dato’ Shahriman telah mengemukakan petisyen pada September 2024 untuk membubarkan Sapura Holdings, kenderaan pelaburan keluarga, yang dikatakan bertindak sebagai balasan terhadap siasatan SAPRES terhadap beliau. Konflik selanjutnya timbul mengenai penilaian aset, apabila Dato’ Shahriman menuntut pembayaran yang jauh lebih tinggi berbanding anggaran yang disediakan oleh juruaudit luar. Beliau tidak berjaya untuk menyelesaikan secara aman isu pembahagian aset bersama abang kandung beliau, Tan Sri Shahril Shamsuddin yang turut merupakan pemegang besar saham syarikat.
Dato’ Shahriman seringkali menekankan untuk mempercepat pembahagian aset tanpa mengambil kira kepentingan risiko terhadap syarikat dan warga kerja. Ernst and Young (EY), sebuah syarikat bereputasi tinggi telah meletakkan penilaian aset yang dimiliki oleh Dato’ Shahriman tetapi beliau berkeras untuk menuntut nilaian melampau yang jauh lebih tinggi dari nilaian semasa yang telah dikemukakan.
Pertelingkahan keluarga mengenai arah strategik Sapura Group melangkaui SAPRES, yang turut memberi kesan kepada pengurusan projek Permata Sapura – menara setinggi 52 tingkat dengan anggaran kos pembinaan dan pembangunan yang bernilai RM1.3 Billion yang telah dibangunkan bersama KLCC Holdings. Ketegangan kewangan dan ketidaksepakatan mengenai nilai bangunan tersebut menambah lagi siasatan terhadap Dato’ Shahriman, dengan spekulasi bahawa beliau ingin menjual kepentingan syarikat pada harga diskaun untuk keuntungan peribadi.
Ketika konflik ini terus berkembang, timbul kebimbangan kepentingan awam mengenai kestabilan Sapura Group, yang memainkan peranan penting dalam sektor minyak dan gas, penerbangan, serta telekomunikasi Malaysia. Sebagai syarikat legasi yang telah bertapak lama dalam industri, syarikat ini telah dilengkapi oleh teknologi serta kepakaran terkini yang rata-rata dipenuhi oleh tenaga kerja bumiputera.
Pertelingkahan ini telah mencetuskan seruan agar penyelesaian segera dicapai bagi memastikan kesinambungan kumpulan dan melindungi kelangsungan hidup pekerja seramai lebih 6,000 orang tidak termasuk ratusan pihak Vendor yang bakal terkesan sekiranya petisyen Dato’ Shahriman untuk membubarkan Sapura Holding berjaya dicapai.
Suruhanjaya Sekuriti (SC) perlu melihat dan mengambil tindakan tegas atas semua penyelewengan dan manipulasi dibuat oleh Dato’ Shahriman. Sapura Group dan semua syarikat berkaitannya wajar diselamatkan. Agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri dan SPRM juga wajar bertindak orang kaya sombong bongkak ini wajar diajar demi rakyat Malaysia yang bekerja di bawahnya.